Selamat Hari Merdeka

Untuk pertama kalinya saya rasa terharu apabila menonton iklan MAS yang tersiar di kaca TV. Entah mengapa… tiba-tiba pula rasa cukup berbangga menjadi rakyat Malaysia.
Mungkin sudah tiba masanya saya memahami apa itu erti kemerdekaan? Mungkin. Ataupun nostalgia zaman silam, yang sudah lama dilupai, tiba-tiba menjelma dan mengingatkan saya betapa bertuahnya saya dilahir di bumi ini? Mungkin juga.
Untuk pertama kalinya juga saya mencatat luahan hati (atau berblog) dalam bahasa kebangsaan. Ia bukan mudah kerana banyak kali ingin terluah sesuatu tetapi terfikir sejenak… bagaimana hendak ucapkan menggunakan bahasa ini? Perbendaharaan kata saya mungkin ada sikit kekurangan.
Tetapi, bahasa ini bukan sukar dipelajari. Sudah 12 tahun saya menggunakannya di sekolah – menulis dan berucap. Boleh dikatakan juga sudah 12 tahun saya tidak menggunakannya. Seperti kata orang, sesuatu yang tidak digunakan akan luput jua. Begitulah juga bahasa.
Namun, lupa atau tidak, bahasa kebangsaan tetap bahasa kebangsaan. Adakah saya merasa lebih patriotik pada hari ini, hari kemerdekaan yang ke-48?
Kalau dahulu saya memacakkan bendera plastik kecil di atas bumbung kereta, kini saya rasa ianya tidak perlu. Jiwa patriotik bukan sekadar mengibarkan bendera sahaja.Tetapi ramai merasai itu satu-satunya cara menonjolkan betapa bangganya kita.
Bagi saya, ada banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk menjiwai kebanggaan sebagai seorang anak Malaysia. Umpamanya, saya boleh cuba ber-blog menggunakan bahasa kebangsaan. Saya juga amat prihatin mengenai alam sekitar dan cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang konsumer yang bijak.
Saya juga amat bangga sebab saya membesar di kalangan rakan-rakan yang beraneka bangsa. Semasa kecil, saya cukup gembira dengan perayaan kaum lain kerana ia memberikan saya peluang untuk melawat rumah terbuka mereka serta menjamu selera dengan pelbagai jenis masakan dan kuih-muih. Saya masih ingat ketika itu kita tidak ada perbezaan sesama kita – kita tidak ada prejudis dan tidak tahu apa itu prejudis. Tetapi dunia kanak-kanak lain daripada dunia orang dewasa. Sememangnya ada banyak yang sudah berubah. Jikalau dahulunya saya memiliki ramai rakan Melayu dan India, kini hanya tinggal segelintir sahaja. Boleh dikira pun dengan jari-jemari.
Itulah lumrah hidup, bukan? Dunia kanak-kanak bebas daripada segala-galanya.
Saya juga amat berbangga dengan keunikan dan kecantikan bumi Malaysia ini tetapi rasanya tidak ramai yang tahu menikmatinya. Kita lebih mengetahui tentang bumi orang lain daripada bumi kita. Ada banyak lagi tempat pelancongan dan peranginan di Malaysia yang belum dijejaki apatah ditatapi tetapi masih ramai lagi yang ingin melawat bumi asing yang sejuk lagi kelabu. Betapa malunya apabila orang asing yang menanyakan kita mengenai tempat-tempat ini dan kita tidak tahu sedikit pun (dan yang anehnya, jika ditanya, kita boleh berbahas tak henti-henti mengenai Piazza ini dan Piazza itu).
Saya juga berbangga kerana adanya generasi pembikin filem baru yang berani menonjolkan betapa sepetnya mata dan sempitnya pemikiran sesetengah masyarakat. Saya juga berbangga kerana ramai mahukan satu bangsa Malaysia dan saya akan merasai lebih bangga lagi jikalau satu hari nanti, tertera di atas MyKad ialah Bangsa Malaysia dan bukannya Keturunan Cina atau India atau Melayu.
Oleh itu saya rasa tidak ada salahnya kalau ada orang ingin mengibarkan Jalur Gemilang dan ada segolongan yang merasakan ini tidak perlu.
Kadangkala, rasa patriotisme tidak perlu ditonjolkan.
Patriotik atau tidak… tepuk dada tanya sendiri…kerana hanya sanubari yang mengetahui…

5 thoughts on “Selamat Hari Merdeka”

  1. janganlah gitu keat! buat aku rasa malu pulak. macam berpidato ye? haha, satu cubaan yang memberangsangkan. tapi otak sudah beku sikit… tulis dalam BM pun kena fikir panjang. orang thai apa salahnya berbahasa…kap khun karp? 😉

    Reply
  2. wahliau eh! Bukan main canggih u punya bahasa. Saya tulis dalam bahasa bukan otak jadi beku tapi saya punya…apatu…er…jari(lah) beku sebab selalu taip dalam english.
    canggih lah, you. berpidato? wah…saya lupa ada perkataan macam itu pulak!
    🙂

    Reply
  3. hi…selamat hari kemerdekaan yang ke 50 kepada seluruh rakyat malaysia. sematkan semangat kemerdekaan didalam diri setiap rakyat malaysia supaya kita tidak akan lupa dengan apa yang telah disumbangkan oleh pemimpim-pemimpin yang terdahulu. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

    Reply

Leave a Comment